Monday, May 18, 2009

HAFIZ JUARA AF7

MASIH jelas lagi ingatannya pada malam Sabtu lalu apabila merampas kembali takhta gelaran juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) yang memihak kepada lelaki kembali.

Dua tahun terdahulu, gelaran juara AF dikuasai pelajar wanita iaitu Mila (2007) dan Stacy (2008). Buat si juara sudah jelas kini bukan lagi fantasi, semuanya sudah menjadi realiti yang harus disahut dengan berpijak pada bumi yang nyata.

Sepanjang sejarah penganjuran AF itu, daripada musim pertama hingga keempat, pelajar lelaki menunjukkan kuasa dan taring menerusi kemenangan Vince, Zahid, Mawi dan Faizal. Kenangan indah ini pasti diingati oleh Hafiz atau nama sebenarnya, Mohd Hafiz Mohd Suip, 19, apabila dinobatkan sebagai juara ketujuh program realiti popular itu.

Malah, Hafiz turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi wakil pertama bergelar juara dari Bumi Kenyalang. Dengan berimej rambut kerinting, remaja kelahiran Kuching, Sarawak itu sudah mula menunjukkan potensi bakatnya sejak minggu pertama lagi berada di dalam AF7.

Tempat kedua ternyata memberi tuah kepada adik Izwan Pilus, Aril dengan tidak mempersiakan peluang kedua yang diberikan kepadanya selepas diwujudkan AF Masuk. Akim pula hanya mampu berpuas hati di tempat ketiga, manakala Yazid dan Isma masing-masing menduduki tangga keempat dan kelima.

REAKSI Hafiz apabila namanya diumumkan sebagai juara AF musim ketujuh.

Bagi Hafiz, impiannya bergelar penyanyi sudah terpendam sedari kecil lagi. Masih lagi kelihatan naif, mahu atau tidak, dia kini sudah bergelar penyanyi sekali gus menyertai ‘kelab dunia artis’.

Katanya, insya-Allah dia sudah bersedia melalui pahit getir dan suka duka menceburi dunia hiburan. Biarpun impiannya selama ini sudah tercapai, Hafiz memberitahu dia masih berhutang sesuatu kepada ibunya, Halizawati Mohd Salleh.

“Saya pernah berjanji kepada mama sekiranya impian saya sudah terlaksana, kini giliran saya pula untuk memenuhi impiannya bagi mendapat pencapaian yang baik dalam akademik. Selama ini pun, mama yang banyak memberi inspirasi dan galakan kepada saya untuk berusaha habis-habisan mengejar impian.

“Saya harap selepas ini dapat mengimbangi di antara kerjaya yang baru bermula dan akademik kerana kedua-duanya menjadi keutamaan. Saya masih menuntut di Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan dalam jurusan Pelancongan dan Hospitaliti di Sarawak. Pengajian saya masih berbaki setahun.


“Saya pernah terfikir untuk menghabiskan pengajian dulu, tetapi atas dorongan dan semangat mama, dia mengizinkan saya mencapai impian sendiri dulu. Apa juga keputusan saya selepas ini mengenai soal akademik dan kerjaya harus dirujuk kepada pengurusan Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB). Saya tidak berani memberi keputusan lanjut kerana segala perancangan pasti di bawah pihak AESB,” kata Hafiz yang teringin untuk bekerjasama dengan beberapa nama komposer hebat di Malaysia termasuk Audi Mok.

Dengan peratusan sebanyak 46 peratus selepas undian ditutup, Hafiz yang mendendangkan dua buah lagu Kau Bunga Cintaku nyanyian asal Anuar Zain dan single baru, Masih Jelas ciptaan Aidit Alfian dan liriknya Ad Samad, ia sekali gus melayakkannya menerima wang tunai RM20,000 dan diaktifkan oleh Hotlink selama setahun.

Selain itu, anak kepada Mohd Suip Mohd Suut itu turut menerima kereta Honda Accord, percutian ke New York dan barangan seperti sistem teater rumah Arezzo Hoffman, kamera Olympus, jam tangan Hugo Boss, penapis udara Hyundai, telefon bimbit Nokia dan Brand’s InnerShine.

Peratusan Hafiz tidak ketara perubahannya sewaktu diumumkan AC Mizal selaku hos AF7 sebelum konsert final berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil. Hanya berlaku peningkatan dua peratus saja daripada 44 peratus menjadi 46 peratus. Sejauh mana perjalanan dan bukti survival Hafiz selepas ini masih samar.

Memetik kata pengkritik tetap AF7, Adlin Aman Ramlie, selain mempunyai vokal yang baik, apa lagi yang boleh ditawarkan Hafiz sebagai bintang dan ikon transformasi yang dicanang-canang pada musim ini. Mungkin Hafiz dan AESB harus bijak mencari resipi dalam memastikan hayatnya tidak dibiar sepi.

Sumber: Berita Harian, 18 Mei 2009(Isnin)

No comments:

Post a Comment